Langsing atau kurus itu cantik. Begitulah paradigma yang menguasai minda kebanyakan wanita yang begitu mendambakan tubuh badan yang kurus atau langsing. Terlalu obsesi dengan keadaan atau bentuk fizikal tubuh yang kurus, mendorong segelintir wanita bertindak menjalani pelbagai rawatan.
Menyentuh isu ini, Ustaz Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim menyatakan perbuatan menguruskan badan jika dilakukan kerana mengikut kehendak sendiri walaupun pada ketika itu saiz tubuh badan normal serta tidak mendapat nasihat doktor terlebih dahulu, maka hukumnya adalah haram.
Ini kerana tindakan tersebut pasti mendatangkan mudarat kepada individu tersebut sama ada dari sudut kewangan, kesihatan dan nyawa.
“Dan bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui sesuatu perkara.”
“Jika seseorang individu itu merujuk terlebih dahulu perkara tersebut pada doktor atau pakar, dan dalam waktu yang sama doktor juga mengesyorkan supaya menjalani proses pelangsingan sama ada dari segi rawatan, pembedahan, mengambil pil kurus dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus.
“Malah, jika arahan daripada doktor itu juga berbentuk wajib di mana tiada jalan penyelesaian atau pilihan lain kerana kegemukan yang berlebihan akan memudaratkan sehingga mendatangkan penyakit, proses ‘pengubahan’ ini dianggap tidak mengubah ciptaan Allah. Bahkan, ia diwajibkan ke atas pesakit sebagai langkah memelihara jiwa,” katanya yang menyatakan harus hukumnya mengambil sebarang jenis makanan tambahan atau pil kurus atas nasihat doktor dengan syarat ia diperbuat daripada sumber bahan-bahan yang halal.
Bagaimanapun, hukumnya akan jatuh haram sekiranya tidak mendapat nasihat daripada doctor terlebih dahulu, diyakini pil tersebut akan memudaratkan kesihatan dan nyawa atau diyakini bahawa kandungan pil tersebut dihasilkan daripada bahan-bahan haram seperti gelatin, khinzir atau sebagainya.
Memandangkan, proses pelangsingan tidak boleh dilakukan tanpa sebab tertentu, namun ada beberapa keadaan atau sebab yang membolehkan seseorang itu diharuskan menguruskan badannya.
Menurut Ustaz Izhar, ada beberapa sebab atau alasan yang membolehkan seseorang individu itu menguruskan badannya. Antaranya, jika doktor sendiri menasihatkan agar berat badan individu terbabit perlu dikurangkan bagi memelihara kesihatan tubuh badannya.
“Selain itu, ia juga boleh dilakukan bagi tujuan berhias untuk suami atau isteri. Malah, alasan untuk menjaga maruah, peribadi dan penampilan agar kelihatan cantik dan bergaya sesuai dengan kehendak syariat Islam juga turut diterima. Ini kerana Allah sangat suka pada kebersihan dan kecantikan seperti sabda Nabi s.a.w., yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu cantik dan amat suka kepada kecantikan.” – Hadis sahih Riwayat Imam Muslim.
Berbicara tentang perbelanjaan atau kos untuk menjalani rawatan pelangsingan yang agak tinggi nilainya, Ustaz Izhar menyatakan soal mahal atau murah sebenarnya bergantung pada individu yang berkenaan.
“Jika individu yang menggunakan atau menjalani rawatan pelangsingan terbabit merupakan seorang yang hartawan dan berkemampuan, maka tidak salah untuk mereka menjalani rawatan atau menggunakan produk-produk yang dikatakan mampu memenuhi impian mereka.
“Lain pula keadaannya, jika seseorang itu tidak mampu untuk menjalani rawatan menggunakan sebarang produk pelangsingan, tetapi dia sanggup berhutang atau bergadai semata-mata untuk memenuhi keinginannya. Hukum bagi mereka yang berbuat demikian adalah haram. Ini kerana dia telah memudaratkan dirinya dan secara tidak langsung mungkin turut memberikan mudarat kepada keluarganya sama ada daripada aspek kewangan dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, gemuk atau kurus adalah anugerah Allah kepada seseorang. Namun, ia bukan bermakna seseorang itu perlu pasrah dengan keadaan dirinya sehingga menyebabkan diri ditimpa penyakit dan seumpamanya.
Justeru, bagi memastikan kita mensyukuri nikmat atau anugerah Allah ini, sebaiknya penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian sebaik mungkin.
Jika seseorang individu itu terlalu kurus sehingga menyebabkan diri mereka lemah dan sakit, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menggemukkan sedikit badannya mengikut arahan atau nasihat doktor dan begitulah sebaliknya.
Ketahuilah memelihara segala jenis anugerah Allah kepada kita ini dianggap mensyukuri nikmat-Nya.
Sumber Sihat
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.